Wednesday, September 29, 2010
Sukan Komenwel New Delhi 2010: Sasar 1 Pingat
SATU pingat emas menjadi sasaran ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley di temasya Sukan Komenwel di New Delhi pada 3 Oktober ini menerusi pelumba negara, Rizal Tisin dalam acara 1 kilometer ujian masa.
Sandaran itu dianggap optimis berdasarkan prestasi semasa pelumba berkenaan selepas kembali pulih daripada kecederaan kemalangan yang dialaminya tahun lalu.
Beasley berkata, Rizal berada di tahap terbaik dan jika pelumba itu berjaya mengulangi catatan masa 1 minit 01 saat ketika memenangi pingat gangsa di Kejohanan Dunia di Poland, tahun lalu tidak mustahil emas mampu berada dalam genggamannya.
“Kami kini memasuki fasa latihan intensif dan satu pendekatan baru ditekankan kepada dua pelumba negara, Azizul (Hasni Awang) dan Rizal dengan meletakkan mereka dalam bilik beraltitud tinggi dengan ketinggian mencecah 3,000 meter paras laut.
“Ia adalah pendekatan baru yang saya gunakan ke atas Azizul dan Rizal kerana saya perlu mencuba pendekatan berbeza. Keputusannya bagaimanapun hanya akan dapat dilihat selepas Komanwel,” katanya.
Beasley akan berlepas dari Melbourne ke New Delhi Jumaat ini berkata, Komanwel adalah masa tepat buat Rizal menyerlah dan catatan masa Rizal 1.01s yang juga rekod Asia adalah catatan terpantas di Komanwel.
Mengulas mengenai Azizul, sukar bagi pemenang pingat perak Kejohanan Dunia itu untuk meraih emas biarpun tanpa kehadiran juara dunia dan tiga emas Olimpik. Chris Hoy kerana dia perlu berdepan dengan pelumba Australia, Shane Perkins yang kini berada di ranking kedua dunia.
“Saya tetap opitimis apabila bercakap mengenai Azizul kerana dia mampu mendapat sebarang pingat dalam keirin, pecut individu ataupun pecut berpasukan namun bagi pelumba lain agak sukar untuk saya jangkakan,” katanya.
Jelasnya lagi, keadaan cuaca panas di New Delhi sekitar 46 darjah Selsius memberi kelebihan kepada pelumba negara memperagakan kayuhan lebih pantas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment