Monday, September 6, 2010

Pelumba negara mula digeruni di Victoria

Oleh Syed Riduan Ahmad 
2010/09/06

TOUR of the Murray River melabuhkan tirainya, semalam dengan skuad lebuh raya kebangsaan menjadi antara pasukan cukup digeruni pelumba handalan Australia sepanjang lapan hari perlumbaan di Victoria, Australia.

Mohd Harrif Salleh merakam kejayaan paling membanggakan dengan empat kemenangan peringkat, dua tempat kedua dan dua, ketiga daripada semua 14 peringkat perlumbaan yang menjadi medan pembangunan pelumba terbaik Australia.

Selepas kecewa pada peringkat 12 dan 13 yang menyaksikan Harrif terlepas jersi biru pelumba remaja terbaik, dia bangkit memenangi peringkat terakhir kayuhan kriterium 66 kilometer di Mildura, semalam.

Joel Pearson dari pasukan Genesys Wealth Advisers muncul juara keseluruhan dengan catatan 20 jam 29 minit 48 saat, manakala klasifikasi kriterium dimenangi Scot Law (Virgin Blue) yang mengumpul 59 mata. Harrif di tangga kedua dengan 44 mata.

Selepas di Victoria, skuad kebangsaan akan berehat beberapa hari sebelum menyertai Tour of Tasmania pada 16 September ini.

Ini adalah pengorbanan mereka untuk negara yang tidak mudah putus asa mencipta kejayaan, kata pembantu jurulatih, Fairoz Izni Abdul Ghani.

Malaysia diwakili Amir Mustafa Rusli, Ahmad Fallanie Ali, Mohd Akmal Amrun, Mohd Zamri Salleh, Mohd Harrif, Shahrul Mat Amin, Yusrizal Yusuf dan Ahmad Fakhrullah Alias pada jelajah berkenaan. Fallanie turut menduduki tangga keenam pelumba paling agresif keseluruhan dengan dua mata.

No comments: