Sunday, January 8, 2012

Tuntut Kayuhan Maksimum

Latihan intensif kelajuan menjadi keutamaan skuad berbasikal kebangsaan menjelang Kejohanan ACC dan LTdL 2012.

KUALA TERENGGANU - Latihan intensif pada kelajuan antara 50 dan 52 kilometer sejam (km/s) pada jarak 100km tanpa henti bermula minggu depan di sekitar Kuala Terengganu diharap mampu memercik sinar kecemerlangan baru kepada skuad lebuh raya kebangsaan menjelang dua pertandingan besar iaitu Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC 2012) dan Le Tour de Langkawi (LTdL 2012).

Jurulatih baru skuad kebangsaan, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan menegaskan, sistem latihan sedemikian rupa yang dianggap keras belum pernah ditampilkan pada mana-mana sesi latihan pusat yang melibatkan pelumba lebuh raya kebangsaan Malaysia sebelum ini.

"Saya mahu lihat tahap kayuhan maksimum semua pelumba negara. Ketika ini tahap kayuhan purata pelumba negara adalah sekitar 38 atau 40km/s. Bagaimanapun saya percaya kualiti kayuhan di Le Tour de Langkawi dan Kejohanan Lumba Basikal Asia nanti adalah sekitar 52 km/s.

"Justeru, saya akan memulakan sistem latihan intensif pada kelajuan 50 dan 52km/s untuk sejauh 100 km bermula minggu depan. Ia satu jarak yang jauh. Tapi saya rasa ini adalah satu permulaan yang baik untuk pasukan lebuh raya Malaysia. Mereka harus mula berkayuh mengikut rentak pasukan benua atau profesional.

"Mahu tidak mahu kita harus mula mengorak langkah ke depan. Kita tak boleh berada di takuk lama hanya berkayuh pada kelajuan 40km/s. Sampai bila kita mahu terus ketinggalan dan hanya tercicir jauh apabila berlumba dengan pasukan benua atau profesional yang baik atau hebat," katanya selepas sesi latihan di sekitar Sungai Chomo berdekatan Kuala Berang, Kuala Terengganu.

Setakat ini, pelumba kebangsaan khususnya Suhardi Hassan, Mohamad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fallanie Ali dan Muhammad Nur Rizuan Zainal dilihat bersikap positif terhadap penerapan sistem latihan baru yang keras diperkenalkan oleh bekas jurulatih pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) tersebut.

"Sesi perbincangan daripada hati ke hati sentiasa diadakan dari semasa ke semasa. Saya mahu tahu bagaimana mereka menerima corak latihan keras yang saya perkenalkan. Saya cuma mahu bersikap common sense (masuk akal).

"Saya akan sentiasa tambah jumlah jarak laluan yang dipertandingkan pada Le Tour de Langkawi 2012 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 pada kadar 50 peratus. Kalau jarak itu 200km, mereka harus berlatih 250km. Jadi bermakna mereka sama sekali tidak akan gentar kepada jarak 200km kerana sudah biasa berlatih 250km.

"Setakat ini mereka tidak membantah sistem latihan keras yang saya perkenalkan. Semua pelumba bersikap positif dan saling menunjukkan reaksi baik tanpa sebarang bantahan. Ini satu perkembangan yang sangat bagus kepada pasukan lebuh raya Malaysia," katanya.

Syed Muhammad Hussaini menjelaskan, pasukan lebuh raya Malaysia akan terus berlatih secara intensif tanpa sentuhan rakan sepelatih daripada TSG yang kini berada di Chiang Rai, Thailand.

"Pelumba Malaysia telah pun boleh terima persepsi bahawa bukan hanya pasukan benua dan profesional yang perlu berlatih keras. Sebaliknya, pasukan kebangsaan Malaysia juga perlu melipatgandakan latihan bagi memastikan mereka benar-benar bersedia bagi menghadapi LTdL 2012 dan ACC 2012.

"Akhirnya mereka akan bersedia sepenuhnya menghadapi acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan Olimpik 2012 sejauh 250km," katanya sambil menegaskan pelumba negara sebenarnya memiliki kudrat sehebat pelumba TSG.

Malaysia sudah pun layak secara merit dalam acara lepas beramai-ramai lelaki pada Sukan Olimpik mewakili kouta Asia bersama Jepun, Uzbekistan dan Kazakhstan.