Oleh Syed Riduan Ahmad
2010/09/05
JERSI biru Pelumba Terbaik Remaja terlepas daripada genggaman Mohd Harrif Salleh selepas berakhir Peringkat 13 Tour of The Murray River di Victoria semalam, apabila pelumba muda negara tersungkur pada pusingan terakhir perlumbaan sejauh 33 km (30 pusingan) itu.
Mohd Harrif sebelum ini membuktikan kehebatannya sebagai pakar pecut di garisan penamat pada jelajah itu dengan menjuarai Peringkat 2, 7 dan 8, dan hampir tidak pernah ketinggalan menaiki podium sepanjang jelajah siri ketiga Piala Scody itu berlangsung.
Harrif kini ketinggalan empat saat di belakang pemegang jersi berkenaan dan peluang merampasnya kembali terhidang pada peringkat terakhir hari ini, membabitkan perlumbaan sejauh 66 km. Jurulatih, William Walker dan pembantunya, Fairoz Izni Abd Ghani, bagaimanapun gembira dengan kejayaan dicatat skuad kebangsaan pada jelajah ini.
Harrif yang dianggap Walker sebagai pakar pecut dalam pembikinan menjadi antara pelumba paling digeruni di garisan penamat.
Namun Harrif tidak berseorangan dalam mengukir gemilang di bumi Australia kerana dia dibantu kemas oleh Amir Mustafa Rusli dan rakan-rakan senegara untuk berada di kelompok depan.
Kerjasama ditampilkan pelumba negara cukup memuaskan hati, kata Fairoz. Mutu kayuhan mereka juga semakin meningkat, dan harapan untuk pergi lebih jauh seperti Le Tour de Langkawi juga cerah.
No comments:
Post a Comment