Thursday, December 23, 2010

Tiada pasukan A atau B

TIADA istilah Pasukan A atau B dan hanya akan ada satu pasukan yang akan mewakili pasukan Malaysia dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 pada 23 Januari depan. Perkara itu ditegaskan penolong jurulatih skuad negara, Omar Saad berhubung pasukan lebuh raya negara yang kini dikatakan mempunyai dua pasukan.

Omar yang dipertanggungjawabkan membimbing skuad Malaysia buat sementara waktu sebelum tibanya jurulatih negara, Graham Seers Januari depan berkata, tiada istilah A atau B dan hanya terbaik yang akan dipilih mewakili negara.

Katanya, Pasukan A dan B tercetus apabila ada segelintir pelumba negara yang tidak terpilih berlatih di Melbourne tempoh hari dipanggil semula meneruskan latihan di Melaka.

“Pernah timbul isu pelumba terbuang dan PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) mengambil keputusan menggabungkan semula barisan pelumba ini dalam satu pasukan.

“Pelumba seperti Suhardi Hassan, Mohd Rauf Misbah (gambar), Faris Razak, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Mohd Rizuan Zainal dan Wan Mohd Najmee Wan Mohammad dipanggil menjalani latihan bersama dan dikenali sebagai pasukan B.

“Manakala pelumba yang pernah berpangkalan di Melbourne terdiri daripada Amir Mustapa, Fallanie Ali, Ahmad Fakrullah Alias dan Zamri Salleh dilabel sebagai pasukan A.

“Namun pemilihan sebenar pelumba mana yang akan mewakili negara hanya akan diketahui selepas selesai Grand Prix di Melaka, Ahad ini,” katanya.

Sementara itu, sesi pendakian ke Genting Highlands yang berlangsung semalam turut menjadi kayu pengukur kepada pemilihan berkenaan. Dalam sesi itu Amir memperlihatkan kayuhan cemerlang untuk mengatasi 11 pelumba negara yang turut sama dalam sesi pendakian ke Genting Highlands.

Kedudukan pelumba itu dilihat semakin selamat menjelang pemilihan sebenar barisan pelumba LTdL 2011.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TiadapasukanAatauB/Article/index_html

No comments: