Friday, December 24, 2010

Amir, Rauf berkayuh untuk Malaysia di LTdL 2011

Angin perubahan tampak bakal menguasai senarai penuh enam pelumba kebangsaan yang bakal disenaraikan bagi mengharum nama Malaysia pada kejohanan berprestij Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) bermula di Pulau Langkawi pada 23 Januari ini.

Tatkala nama seorang pelumba baru yang langsung tidak dikenali dalam dunia basikal bakal dihadiahkan tiket berkayuh pada LTdL 2011, Muhammad Nur Rizuan mungkin terpaksa melupakan impian beraksi rentetan prestasi kurang menentu kebelakangan ini khususnya pada sesi ujian di Genting Highlands baru-baru ini.

Jurulatih pasukan kebangsaan, Omar Saad membayangkan nama Amir Mustafa Rusli dan Mohd Nazri Muhammad – nama baru dalam dunia basikal berkemungkinan tampil kali pertama pada kejohanan edisi ke-16 tahun depan bersama pasukan kebangsaan Malaysia.

“Secara kasarnya saya dah dapat idea keseluruhan siapa bakal naik Le Tour de Langkawi 2011. Kita dah buat tiga ujian di Genting Highlands. Kita juga dah harungi lima Siri Grand Prix Kebangsaan yang semuanya dibuat pada laluan landai.

“Jadi secara keseluruhan kita dah adun kombinasi bukit dan landai. Di bukit kita ada Amir Mustafa dan (Muhammad) Rauf (Nur Misbah). Ahmad Fakrullah (Alias) handal di laluan landai. Cuma kita akan timbangkan dengan rapi sehingga Grand Prix Kebangsaan pusingan akhir yang akan diadakan di Melaka Ahad ini.

“Bagaimanapun, seperti yang saya katakan tadi, gambaran kasar tentang siapa yang bakal berkayuh telah pun ada dalam fikiran saya. Saya akan bentangkan kepada Panel Pemilihan Le Tour de Langkawi 2011 untuk dapatkan keputusan akhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyentuh tentang Amir Mustafa, Omar menjelaskan wujud petanda betapa pelumba yang berlatih di Melbourne, Australia itu mungkin terpaksa melupakan hajatnya untuk berkayuh bersama pasukan Drapac-Porsche.

“Saya belum dapat maklumat sepenuhnya. Tapi saya difahamkan mungkin kita ada peluang untuk guna khidmat Amir Mustafa pada Le Tour de Langkawi 2011. Setakat ini, itu saja yang boleh saya maklumkan tentang Amir Mustafa.

“Jika perkara ini berlaku saya rasa ia satu berita baik kepada pasukan kebangsaan kerana Amir Mustafa muncul pelumba terbaik pada pemilihan ketiga di Genting Highlands baru-baru ini,” katanya.

Jurulatih kelahiran Kedah yang pernah berkayuh di Sukan Olimpik itu menjelaskan betapa dia berdepan kesukaran menilai keupayaan Suhardi Hassan, Wan Najmee Wan Mohamed dan Muhammad Nur Rizuan.

“Rizuan dapat nombor 11 keseluruhan ketika mendaki Genting Highlands baru-baru ini. Paten yang ditunjukkan oleh Rizuan jelas tidak menentu meskipun menang GP Selangor. Rizuan sendiri kurang pasti apa yang sedang berlaku terhadap dirinya,” katanya.

Pasukan kebangsaan telah pun mendapat tiket jemputan untuk menyertai perlumbaan berprestij LTdL 2011 yang dianjurkan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama MNCF.

Kejohanan menawarkan hadiah RM1 juta itu kembali dilepas di Pulau Langkawi pada kejohanan edisi ke-16 selepas kali terakhir ke pulau tersebut pada 2007 dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8552701.asp

No comments: