Thursday, December 23, 2010

Amir lepasi ujian sukar daki puncak Genting


KUALA LUMPUR - Pelumba basikal lebuh raya negara, Amir Mustafa Rusli membuktikan sudah bersedia untuk melakukan kejutan pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, apabila menjadi pelumba pertama yang tiba di puncak Genting Highlands, pada sesi latihan mendaki semalam.

Amir, yang sudah mengikat kontrak bersama pasukan benua dari Australia, Drapac Porsche, diberi pelepasan untuk mewakili pasukan kebangsaan dan kini sibuk melakukan persiapan untuk perlumbaan bertaraf dua hors (2.HC) itu.

Menurutnya, zon pendakian berprofil tinggi seperti Genting Highlands menjadi halangan besar buat pelumba negara, bagaimanapun keputusan latihan semalam amat menggembirakan beliau.

"Latihan ini merupakan sebahagian daripada sesi pemilihan untuk mewakili pasukan kebangsaan, keputusan ini menambahkan lagi semangat saya.

"Sedikit sebanyak ia memberi kelebihan buat saya untuk dipilih beraksi bersama pasukan Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui laman sosial, Facebook semalam.

Jelasnya, pendakian berprofil tinggi seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands merupakan peringkat yang amat penting buat pelumba untuk mendapat kedudukan keseluruhan individu dan pasukan terbaik.
"Saya akan cuba untuk memberi saingan pada LTdL 2011 dengan memberi kayuhan terbaik terutama sekali di zon pendakian.

"Ia bukan mudah kerana pada perlumbaan edisi ke-16 ini, pelumba perlu melalui zon pendakian berprofil tinggi berturut-turut.

"Malaysia sekurang-kurangnya perlu mempunyai dua atau tiga orang pendaki yang baik, barulah boleh meletakkan sasaran kedudukan keseluruhan bagi kategori pasukan," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.
Ditanya samada latihan di Australia banyak membantu mempertingkatkan teknik pendakian, Amir berkata, ia sedikit membantu tetapi berbeza dengan Genting Highlands, namun latihan awal memberi kelebihan untuk mereka mempersiapkan diri.

"Latihan awal ini menguji kekuatan mental dan daya ketahanan, setakat ini saya yakin dengan kemampuan saya untuk perlumbaan tahun depan. Saya sudah dapat kelajuan dan keupayaan yang saya inginkan ketika di kem latihan Drapac, awal bulan ini.

"Apa yang saya perlu buat sekarang ialah menambah teknik kayuhan jarak jauh dan ketahanan cuaca, saya yakin kemampuan Malaysia bagi saingan kali ini, kerana pelumba banyak didedahkan dengan perlumbaan bertaraf antarabangsa baik di Malaysia mahupun di Australia," katanya.

Latihan mendaki Genting Highlands merupakan sebahagian daripada proses pemilihan pelumba untuk mewakili pasukan kebangsaan. Pelumba akan berdepan dengan satu lagi proses pemilihan terakhir pada Grand Prix Melaka Ahad ini.

Jurulatih baru, Graham Seers akan mengambil alih tugas melatih pasukan lebuh raya kebangsaan pada 1 Januari nanti.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm

No comments: