Saturday, August 14, 2010

Adiq ada Potensi

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my
2010/08/14

IMPIAN untuk menyaksikan adanya pelumba negara beraksi di Tour de France bukanlah mustahil kerana Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kini dalam rancangan ke arah merealisasikan perkara itu.
Meletakkan sasaran untuk menjadikan Adiq Husainie Othman sebagai pelumba pertama ke arah itu, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata, Adiq yang kini bersama pasukan profesional benua, Drapac Porsche dilihat mempunyai potensi cerah.

Katanya, keupayaan juara kebangsaan itu amat tinggi berbanding pelumba lain namun pelumba seperti Anuar Manan dan Ahmad Haidar Anuawar turut berpeluang melaksanakannya.

“Adiq memilik semangat juang yang tinggi. Kita boleh saksikan keupayaannya dan dia seorang pelumba endurance yang baik.

“Tambahan pula ketika ini dia bersama pasukan luar yang mampu terus menggilap bakatnya untuk diketengahkan,” kata Naim.

Begitupun Naim sedar, tidak mudah buat Adiq, pelumba berusia 19 itu merekodkan sejarah dalam waktu terdekat ini dan dia sekurang-kurangnya memerlukan tiga atau empat tahun untuk bersaing bersama pasukan profesional.

Adiq dinobatkan sebagai juara kebangsaan 2010 selepas menewaskan Shahrul Mat Amin di tempat kedua, Ahmad Fakhrullah Alias (ketiga), Ahmad Fallanie Ali (keempat) dan Anuar Manan (kelima) di Kejohanan Kebangsaan yang berlangsung di Negeri Sembilan Jun lalu.

Sementara itu bagi Adiq yang kini berpangkalan di Australia berkata, berkata berkat latihan yang dilalui dengan peluang bersaing dalam perlumbaan antarabangsa di Eropah dan Asia, dia yakin hasrat bersaing di Tour de France bukanlah angan kosong.

“Saya dapat rasakan cita-cita saya untuk bersaing di Tour de France akan jadi kenyataan satu hari nanti tapi belum pasti bila ia akan menjadi kenyataan.

“Tapi saya meletakkan sasaran pada umur saya 23 atau 24 tahun untuk saya mencipta rekod menjadi pelumba pertama berlumba di sana,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Adiqadapotensi/Article

No comments: