PKBM sedia bantu Rizal selesai masalah - Naim
PERSATUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memandang serius keputusan pelumba trek negara, Rizal Tisin yang membuat keputusan untuk menangguhkan latihan di Melbourne, Australia bagi mencari peluang pekerjaan tetap buat dirinya.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata, adalah menjadi tanggungjawab persatuan untuk menjaga kebajikan atlet bagi memastikan mereka terus membawa kejayaan kepada negara.
"Masalah Rizal akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa kerja PKBM dan Majlis Sukan Negara (MSN) Khamis depan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya semalam.
"Bukan sahaja Rizal, malah masa depan atlet berbasikal kebangsaan yang lain terutamanya yang sedang menyarung jersi negara akan turut dibincangkan."
Keputusan Olahragawan Selangor 2006 yang kini berusia 24 tahun itu pastinya membantutkan perancangan PKBM dan MSN untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik 2010 di London.
"Kita juga menyeru negeri kelahiran pelumba, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan swasta agar dapat menyerap mereka menjadi kakitangan tetap," kata Naim.
Empat pelumba telah melaporkan diri di Melbourne di bawah kendalian jurulatih John Beasley iaitu Mohd. Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Mohd. Edrus Yunos dan Fatehah Mustapha manakala Junaidi Mohd. Nasir akan kembali berlatih bulan depan.
Untuk rekod, antara pelumba yang telah mendapat pekerjaan tetap dan masih aktif ialah Azizulhasni (Majlis Perbandaran Dungun), Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi (PDRM), Suhardi Hassan (DBKL) dan Mohd. Firdaus Daud (TLDM).
Naim berkata, dia kurang bersetuju dengan hasrat Rizal untuk menyambung latihan di negara ini jika gagal mendapat pekerjaan tetap.
"Jadi apabila melibatkan acara berpasukan, beliau memerlukan latihan bersama untuk mendapatkan persefahaman yang tinggi selain mencatatkan masa yang baik bersama," katanya.
Dalam acara pecut berpasukan pada temasya Olimpik XXIX di Beijing, Rizal bertindak sebagai pelumba ketiga bergandingan dengan Azizulhasni dan Josiah untuk menduduki tempat ketujuh keseluruhan
No comments:
Post a Comment