Saturday, October 11, 2008

Atlet berhak rancang masa depan



Atlet berhak rancang masa depan

Oleh MN NORZASRUDINnorzasrudin@kosmo.com.my
KERATAN \Kosmo!\ semalam.


KEPUTUSAN pelumba basikal trek negara, Rizal Tisin untuk menangguhkan latihan di bawah kendalian jurulatih John Beasley di Melbourne, Australia perlu dihormati semua pihak.
Meskipun keputusan ini agak memeranjatkan, ia perlu dipandang serius terutamanya dalam menjaga hati dan kebajikan atlet terbabit.
Mengulas isu tersebut, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong (gambar) berkata, atlet negara berhak membuat keputusan untuk merancang masa depan mereka.
Tambahan pula katanya, lumba basikal boleh dianggap sebagai sukan yang berisiko tinggi dan sebarang kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Zolkples mengakui, penangguhan ini hanya bersifat sementara dan ketika ini, tidak ada kejohanan besar yang perlu dihadapi pelumba negara.
"Kita telah berbincang dengan Beasley dan dia bagi kebenaran kepada Rizal untuk berlatih di bawah kendalian jurulatih pembangunan, Fairoz Izni Abd. Ghani.
"Ini adalah keputusan Rizal dan kita perlu menghormatinya. Selain itu, kita juga sedang membantu dia untuk mendapatkan pekerjaan yang dia mahu.
"Kita tidak mahu memaksa dan berkeras kerana ia boleh menjadikan situasi ini lebih buruk, sekali gus mematahkan semangat pelumba untuk meneruskan karier mereka.
"Bagaimanapun Rizal tidak perlu bimbang kerana kebajikannya sentiasa terjamin dan dia bakal memperoleh elaun yang lebih tinggi selaku juara Asia.
"Selain itu, dia juga diberi layanan yang istimewa dan dilengkapi dengan segala kemudahan sepanjang berlatih di Melbourne," kata Zolkples kepada Kosmo! semalam.
Ketika ini, pelumba kelahiran Selangor yang berusia 24 tahun ini cuma memperoleh elaun bulanan sebanyak RM1,500 selain Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan (Shakam).
Begitupun jumlah itu akan bertambah menjadi RM2,500 bermula Januari ini berikutan kejayaannya memenangi pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC).
Bagaimanapun Zolkples mengakui, situasi Rizal ini perlu ditangani dengan baik bagi mengelak sebarang situasi yang lebih buruk, sekali gus menjejaskan misi negara.
Ini kerana Rizal adalah antara pelumba penting yang menjadi sandaran untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London selepas mempamerkan kecemerlangan di Beijing, Ogos lalu.

"Kita tidak mahu keputusan Rizal ini akan membantutkan perancangan kita untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik 2012 dalam acara lumba basikal trek.
Untuk rekod, Rizal pernah memenangi pingat emas dalam acara keirin pada ACC 2006 di Kuala Lumpur, emas 1km ujian masa dan pecut berpasukan di Korat, Thailand 2007 dan emas 1km ujian masa ACC di Nara, Jepun awal tahun ini.

No comments: