Friday, October 31, 2008

MSN ikat Beasley

MSN ikat Beasley

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my


TERBUKTI...Beasley (kiri) memberi kata perangsang kepada
pelumba negara(uracca leow).

SECARA rasminya jurulatih basikal trek Malaysia yang membawa nama negara berada dalam kelompok tujuh terbaik dunia dalam acara pecut, John Beasley, kini sah menjadi milik kem basikal negara.

Jika selama ini khidmatnya itu menjadi tanda tanya sama ada akan terus bersama kem negara berikutan dimaklumkan terdapat beberapa negara yang turut berminat mendapatkan khidmatnya, Beasley kini akan membimbing kem negara selama dua tahun lagi.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata selain daripada misi membawa pulang pingat emas Sukan Asia 2010 di New Delhi dan Sukan Olimpik 2012 di London, kontrak jurulatih dari Australia itu akan turut merangkumi tugas sebagai pengarah kejurulatihan mengendalikan program pembangunan sukan basikal di negara ini.

Zolkples berkata khidmat Beasley tidak hanya tertumpu kepada skuad elit malah kepakarannya itu akan dipraktikkan untuk atlit program pembangunan berikutan tenaga kejurulatihan tempatan nyata masih ketinggalan.




“Beasley sudah membuktikan keupayaannya sebagai jurulatih. Tugas barunya itu sudah dimaklumkan kepadanya dan dia juga bersetuju untuk kembali ke negara ini pada waktu-waktu tertentu bagi mengendalikan program kejurulatihan yang lebih komprehensif ,” katanya.


Zolkples yang ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja basikal, turut memaklumkan penyertaan Anuar Manan, Ahmad Haidar Anuawar dan Mohd Nor Ridzuan Zainal bersama skuad lebuh raya kebangsaan.

No comments: