Friday, October 31, 2008

MSN sudah kota janji

MSN sudah kota janji

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengotakan janjinya untuk membantu atlit mendapatkan pekerjaan bagi memastikan kerjaya sebagai atlit turut mempunyai masa depan.

Ketua Pengarah, Datuk Zolkples Embong (gambar) ketika mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Persatuan Kebangsaan Basikal Malaysia (PKBM), kelmarin memaklumkan bahawa beliau sudah menghantar surat sokongan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini Rizal Tisin hanya perlu menunggu panggilan ditemuduga.

Katanya, MSN amat prihatin terhadap keinginan atau kehendak atlitnya dan sememangnya bersedia memenuhi dalam membantu atlit mencapai apa yang diinginkan oleh mereka.

“Kami memberi bantuan untuk atlit mendapat pekerjaan. Bantuan tidak hanya tertumpu kepada kerjaya sebagai polis. Ada juga atlit lain yang sudah mendapat pekerjaan tetap seperti di Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.




“Tapi kerjaya polis yang diinginkan Rizal, jadi kita akan membantu dia. Berhubung dengan perkara itu, MSN sudah menghantar surat sokongan untuk dipertimbangkan pihak polis.


“Saya percaya permohonan itu akan memberi petanda positif untuk dipertimbangkan pada pengambilan akan datang dan jika Rizal diterima, dia harus bersedia untuk dipanggil menjalani latihan rekrut selama enam bulan,” katanya.

Zolkples berkata, bukan hanya Rizal, malah MSN tetap akan membantu atlit yang berada di bawah naungan MSN untuk mendapatkan pekerjaan tetap.

Surat sokongan MSN dilaporkan sudah sampai ke meja Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan kini hanya menunggu borang permohonan Rizal saja.

No comments: