Wednesday, January 19, 2011

PKBM tuntut kayuhan juara

Pengarah Urusan Kumpulan Asianix Media, Saherwan Md. Tahir (kiri) menyerahkan replika cek kepada Abu Samah Wahab (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelhatan Mohamed Salleh dan Faiz Azman. - UTUSAN/Fauzi Baharudin

KUALA LUMPUR - Nasihat Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab selepas pengumuman pelumba Malaysia untuk beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 ialah melepasi halangan berbukit di Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Menurut beliau, jika pelumba kebangsaan berhasrat untuk terus berada dalam perlumbaan selepas dua halangan terbesar itu mereka perlulah mempamerkan kayuhan bertenaga pada perlumbaan peringkat keempat dan kelima itu.

"PKBM berpuas hati dengan pemilihan keenam-enam pelumba ini manakala empat dari mereka, Amir Mustafa Rusli, Loh Sea Keong, Muhammad Nur Rizuan Zainal dan Muhammad Rauf Nur Misbah adalah pelumba yang mampu melakukan pendakian dengan baik," katanya pada sidang akhbar majlis penyerahan penajaan Total Active, semalam.

Jelas Abu Samah, kemampuan pelumba ini dapat dilihat selepas melakukan persediaan sejak hujung tahun lalu terutama sekali di bahagian pendakian dan kehadiran jurulatih baru, Graham Seers mampu untuk memperkemaskan lagi persediaan pasukan.

"Kalau boleh kita tidak mahu pelumba Malaysia tercicir seawal peringkat keempat dan kelima lagi. Oleh itu saya yakin kehadiran Seers ini walaupun dalam masa yang singkat mampu memberikan keputusan yang membanggakan.

"Saya yakin dengan kemampuan mereka walaupun kita kehilangan dua pelumba Shahrul Mat Amin dan Yusrizal Usoff yang mewakili pasukan benua, Terengganu Cycling Team (TSG). Bagaimanapun patah tumbuh hilang berganti," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), LTdL 2011 berkata, pelumba yang dipilih ini mampu menggalas tanggungjawab sebaiknya, dengan menjadikan perlumbaan ini untuk mengharumkan nama Malaysia.

"Perasaan saya bercampur-baur, saya berasa teruja dan bersemangat selepas pengumuman pelumba untuk pasukan Malaysia ini, saya kenal hampir 90 peratus daripada mereka dan apa yang boleh saya katakan mereka sudah pasti beraksi dengan cemerlang," ujarnya.

Tahniah semua pasukan Negara Malaysia!

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm

No comments: