Graham Seers (kiri) bersama skuad Malaysia yang akan menyertai LTdL 2011 (dari kiri) Suhardi Hassan, Amir Mustafa Rusli, Loh Sea Keong, Mohamad Nur Rizuan Zainal, Muhammad Rauf Nor Misbah dan Ahmad Fakrullah Alias pada majlis pengumuman pelumba di Kuala Lumpur, semalam.
– UTUSAN/Fauzi Baharudin
KUALA LUMPUR – Debaran siapa yang bakal memikul tanggungjawab besar pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 terjawab selepas enam pelumba terpilih menggalas cabaran pasukan Malaysia pada perlumbaan berprestij Asia itu.
Empat daripada mereka merupakan jaguh dalam pendakian - Amir Mustafa Rusli, Loh Sea Keong, Muhammad Nur Rizuan Zainal dan Muhammad Rauf Nur Misbah, yang akan berdepan tugas berat berdepan dua zon pendakian berprofil tinggi berturut-turut di peringkat keempat dan kelima.
Menurut jurulatih skuad kebangsaan, Graham Seers mereka akan dibantu seorang lagi pelumba berpengalaman, Suhardi Hassan yang dilantik menjadi ketua pasukan manakala pelumba muda, Ahmad Fakrullah Alias melengkapkan senarai.
“Mereka adalah di antara pelumba terbaik selepas melihat prestasi ketika latihan dan pemilihan yang diadakan pada Disember lalu dan awal bulan ini,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Penajaan Total Active, semalam.
Jelasnya, sasaran awal skuad Malaysia ialah mempamerkan aksi mantap pada peringkat pertama, kedua dan ketiga sebelum berdepan halangan sukar di peringkat keempat dan kelima.
“Saya yakin ini adalah kombinasi terbaik untuk melepasi pendakian Cameron Highlands dan Genting Highlands, apa yang perlu mereka lakukan ialah mendengar segala arahan dan strategi yang akan saya aturkan pada perlumbaan nanti.
“Setakat ini saya tidak meletakkan sebarang strategi khusus ini kerana semuanya akan dibuat pada hari perlumbaan sebelum pelepasan, bagaimanapun saya yakin dengan kemampuan mereka untuk bersaing dengan pelumba handalan lain,” katanya.
Mengenai pemilihan Fakrullah yang mengenepikan beberapa pelumba berpengalaman lain seperti Zamri Salleh dan Ahmad Fallanie Ali, Seers berkata, ia berdasarkan pencapaian cemerlang pelumba berusia 20 tahun itu pada Tour d‘Indonesia tahun lepas.
“Saya memang memerlukan seorang pelumba muda dalam pasukan ini, sekurang-kurangnya kita mempunyai gandingan pelumba berpengalaman dan pelumba pra-matang, ia adalah untuk proses pembangunan jangka panjang,” katanya.
Pengurus pasukan, Amrun Misnoh berkata, Suhardi dan Fakrullah akan diberi tugas sebagai pelumba pecut bagi mengutip mata di zon pecutan dan Sea Keong pula bukan sekadar pelumba pendaki tetapi turut berperanan sebagai pelumba domestik.
“Sebagai pengurus pasukan, harapan saya cuma satu sahaja pada awal saingan ini iaitu mengharapkan mereka melepasi peringkat keempat (Tapah-Cameron Highlands) dengan baik bagi membuka ruang untuk menyambung saingan seterusnya.
“Bagi sasaran pasukan, kami harap dapat menduduki tempat ke-13 daripada 23 pasukan yang mengambil bahagian dengan formula 4+2 (empat pendaki dan dua pelumba pecut ini menjadi,” katanya.
Tahniah!
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm
No comments:
Post a Comment