Monday, March 7, 2011

Beasley sambung kontrak

John Beasley

KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) boleh menarik nafas lega dengan khabar gembira John Beasley berhasrat menyambung semula kontraknya selaku ketua jurulatih skuad negara selepas berakhir Sukan Olimpik 2012.

Menurut sumber, perkara ini sebenarnya telah dibincangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Beasley ketika melawat Mohd. Azizulhasni Awang yang mengalami kecederaan selepas beraksi di Siri Piala Dunia Klasik di Manchester bulan lalu.

“Perkara ini masih lagi dalam perbincangan, namun gambaran awal telah dapat diperoleh ketika di Manchester apabila Beasley menimbang semula hasratnya untuk tidak meninggalkan kem Malaysia apabila bertemu dengan Ahmad Shabery,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam
Jelasnya, Beasley memang ada menerima tawaran pasukan kebangsaan Iran, namun ia bukanlah perkara baru kerana tawaran tersebut dibuat sejak dua atau tiga tahun lalu, namun baru-baru ini sahaja digembar-gemburkan.

Laporan Mingguan Malaysia pada 21 Februari lalu menyebut bahawa jurulatih dari Australia itu akan meninggalkan skuad berbasikal negara selepas Sukan Olimpik 2012 London dan Beasley telah memaklumkan perkara itu kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

“Hasil perbincangan ringkas antara Ahmad Shabery dan Beasley di Manchester telah berjaya mengubah semula pendirian jurulatih yang pakar dalam acara trek itu dan bersetuju menabur bakti dengan Malaysia.

“Antara alasan yang diberikan Beasley dia mahu meneruskan kesinambungan tentang apa yang telah dilakukan sebelum ini termasuk mendidik Azizulhasni sehingga menjadi pelumba bertaraf dunia,” katanya.
Sumber juga memberitahu, Beasley bukan menyambung kontrak sebab ditawarkan gaji yang lebih lumayan oleh MSN, malah dia sendiri yang mahu terus kekal bersama Malaysia tetapi masih belum pasti sehingga bila.

“Bagaimanapun semuanya masih belum diputuskan secara muktamad, segala butiran yang lebih lanjut mengenai kontrak Beasley masih lagi dalam perbincangan dengan MSN, cuma gambaran awal dia akan kekal sahaja yang diperoleh,” kata sumber.

Beasley mula melatih skuad trek negara pada 2006 dan sepanjang tempoh tersebut, dia berjaya mengangkat pelumba trek negara di persada dunia seperti Azizulhasni, Mohd. Rizal Tisin dan Fateha Mustapa.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm

No comments: