RM, velodrom untuk jagoan basikal
Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my
JAGOAN berbasikal negara, bukan saja mendapat durian runtuh hasil kecemerlangan yang ditunjukkan dalam Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) di Indonesia yang berakhir kelmarin, malah bakal mendapat velodrom tertutup serba canggih bertaraf Olimpik menjelang 2012.
Dengan jaguh trek dunia, Azizulhasni Awang mendahului senarai penerima Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan (Shakam) dengan lebih RM13,000 hasil pingat emas acara berpasukan dan 200m pecut, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, mengumumkan kementeriannya akan memastikan velodrom itu mampu disiapkan menjelang Olimpik 2012.
“Kita berbangga mempunyai atlit berbasikal yang sudah boleh berdiri megah di kalangan pelumba handalan dunia dan bagi memastikan kita mampu meraih emas pertama di Olimpik kelak, kita merasakan bahawa sebuah velodrom perlu dibina.
“Ia bukan saja bertujuan mencungkil lebih ramai bakat tetapi juga mampu memastikan atlit mendapat kemudahan latihan serba lengkap. Kementerian akan menjadikan cadangan pembinaan velodrom ini menjadi agenda utama dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).
“RMK10 akan dibentangkan, tahun depan dan kita menjangkakan kemudahan ini dapat disiapkan pada 2011,” katanya pada majlis penyerahan Shakam itu di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Selain Azizul, seorang lagi jagoan negara, Mohd Rizal Tisin turut menerima RM5,000 apabila menang perak acara 1km ujian masa di ACC selain berkongsi hadiah pecut berpasukan RM10,000 bersama Azizul dan Muhammad Edrus Md Yunus.
Mohd Hafis Sufian turut layak menerima imbuhan RM5,000 kerana menang perak dalam acara keirin manakala Fatehah Mustapa meraih RM 6,000 hasil dua gangsa menerusi acara 500m ujian masa dan 200m pecut wanita.
Ahmad Shabery berkata, sebagai persiapan rapi di bawah program Road To London 2012, seramai 12 pelumba termasuk mereka yang menerima ganjaran ini, akan meneruskan latihan di Melbourne, Australia mulai minggu depan.
No comments:
Post a Comment