Oleh Azidan Nahar
azidan@bharian.com.my
SELEPAS kejayaan demi kejayaan diraih skuad trek negara di peringkat antarabangsa, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) kini mahu memberi fokus untuk meningkatkan mutu skuad berbasikal bukit negara yang sebelum ini kurang diberi tumpuan.
Timbalan Presiden MNCF, Datuk Naim Mohamad, berkata Malaysia kini memiliki ramai pelumba berbakat untuk diketengahkan, namun masih kekurangan dana bagi melaksanakannya.
“Tanpa sokongan dari pihak swasta, kami tidak mampu melakukannya,” katanya selepas majlis penyerahan tajaan bersama Kencana Petroleum Berhad untuk skuad negara yang akan bersaing pada Tour of Timor, di ibu kota semalam.
Kencana Petroleum menerusi Pengarah Eksekutifnya, Azmi Ismail menyerahkan tajaan sebanyak RM30,000 untuk skuad negara yang dibarisi tujuh pelumba bagi menyertai perlumbaan berbasikal bukit yang buat pertama kalinya dianjurkan di Timur Leste itu.
Naim berkata, MNCF tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada skuad berbasikal bukit sebelum ini kerana kekurangan kewangan selain menumpukan perhatian terhadap skuad berbasikal trek dan lebuh raya.
“Skuad trek sudah menunjukkan persembahan baik, skuad lebuh raya sudah menuju ke arah itu, kerana itu kami tidak mahu acara berbasikal bukit jauh ketinggalan.
“Kita memiliki banyak kemudahan untuk basikal bukit dan dengan sokongan yang besar, kita seharusnya berada di satu tahap untuk pergi lebih jauh,” katanya.
Tour of Timor yang bermula Isnin ini di ibu negara Timor Leste, Dili akan disertai Shahrin Amir, Nor Shahriel Haizad, Mohd Ain Mohd Fauzi, Niklaus Muner serta tiga pelumba wanita iaitu Junaidah Jus, Nor Azian Alias serta Masziyaton Mohd Rodzi.
No comments:
Post a Comment