Wednesday, June 15, 2011

Empat senior gugur

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

PENGGUGURAN empat muka lama daripada senarai pelumba kebangsaan bagaikan satu amaran awal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) terhadap pelumba sedia ada agar memberi aksi terbaik sebelum senarai akhir enam pelumba ke Sukan Sea, Palembang diumumkan.

Empat pelumba, Zamri Mohd Salleh, Nor Ridzuan Zainal, Fallanie Ali dan Wan Mohd Najmee Wan Mohamad antara muka lama digugurkan dari skuad kebangsaan atas alasan prestasi dan pengguguran itu sekali gus menutup peluang empat pelumba itu untuk beraksi di Sukan Sea, Disember ini.

Presiden PKBM, Abu Samah Wahab berkata, keputusan itu diambil selepas menilai beberapa aspek termasuk pandangan daripada ketua jurulatih lebuh raya negara, Graham Seers.

Katanya, seramai 10 pelumba disenarai pendek dalam skuad Sukan Sea, sebelum senarai akhir enam pelumba diumum Oktober ini.

“Keputusan dilakukan berdasarkan pandangan Seers namun pelumba digugurkan itu mungkin diserapkan semula andai menunjukkan keputusan baik dalam Grand Prix Kebangsaan,” katanya.

Pelumba disenaraikan membabitkan Suhardi Hassan, Muhammad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fakrullah Alias, Faris Razak, Mohd Nazri Muhammad, Sarham Miswan, Nik Mohd Azwan Zulkifli, Mohd Aim Mohd Fauzi, Mohd Al-Ghazali Abdul Hamid dan Mohd Zulhilmi Hafiz.

Bagaimanapun pemilihan terakhir akan membabitkan tambahan beberapa pelumba terdiri daripada Amir Mustafa, Mohd Adiq Hussainie yang kini bersama pasukan Drapac Porsche di Australia, Saufi Mat Senan, Shahrul Mat Amin bersama TSG dan Ng Yong Li (Le Tua).

Dengan barisan sedia ada dan beberapa pelumba berpengalaman, Abu Samah melahirkan keyakinan terhadap keupayaan skuad lebuh raya untuk kembali membawa pulang emas selepas kali terakhir melakukannya di Sukan Sea, Manila pada 2005 menerusi Suhardi Hassan dan sekadar merangkul perak di Korat dan gangsa di Laos.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Empatseniorgugur/Article/index_html

No comments: