Thursday, April 15, 2010

Jupha raih perak di ACC


JUPHA (kiri) meraikan kejayaan menangi perak acara 500 meter ujian masa bersama pemenang emas, Hye Jin (tengah) dan gangsa, Chia Hui pada ACC 2010 di UAE, semalam.

PELUMBA remaja, Jupha Somnet menghadiahkan pingat pertama buat negara apabila meraih tempat kedua acara 500 meter ujian masa di Kejohanan Lumba Basikal Asia 2010 (ACC 2010) di Velodrom Zayed, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Anak kelahiran Chuping, Perlis keturunan Siam itu yang tampil kali pertama dalam kancah pertandingan remaja ACC merakam masa 39.972 saat untuk menamatkan kemarau pingat selepas skuad lebuh raya pulang ke tanah air, semalam dengan tangan kosong.
Pingat emas dimenangi pelumba Korea Selatan, Lee Hye Jin yang mencatat 36.698s manakala gangsa dikucup pelumba Taiwan, Lin Chia Hui 40.510s.
“Saya memang sudah jangka boleh menang walaupun ini kali pertama saya bertanding dalam kategori remaja,” katanya. Anak keempat daripada lima adik beradik itu menganggap kemenangan berkenaan adalah hadiah terbaik sempena ulang tahun kelahiran ke-17 pada 26 April ini.

Jupha yang akan menyertai lima acara dalam kategori remaja ACC 2010 percaya kemenangannya akan membakar semangat pelumba lain meraih lebih banyak pingat lagi khususnya menerusi acara keirin dan pecut lelaki elit.

Suasana gembira yang menyelubungi kem Malaysia bagaimanapun bertukar sayu apabila pelumba wanita harapan negara, Fatehah Mustafa gagal mengulangi pencapaian cemerlang sebagaimana diperagakan di ACC 2008 di Nara, Osaka, Jepun dan ACC 2009 di Banjarmasin, Indonesia apabila sekadar mendapat tempat kelima.

Sementara itu, pasukan pecut berpasukan remaja negara sekadar melangkah ke pertandingan penentuan tempat ketiga menentang pasukan Korea Selatan apabila tercicir 51 saat di belakang Jepun dan Korea Selatan.
Harapan mengulangi emas tahun lalu menerusi pecut berpasukan lelaki elit juga tidak kesampaian apabila gandingan Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin, Mohamad Hafiz Suffian dan Harrif Salleh sekadar di tangga kelima selepas pusingan kelayakan semalam.

Azizulhasni yang memang tidak meletak harapan tinggi dalam acara pecut berpasukan kali ini, bertekad mahu menebus kekecewaan keirin tahun lalu dan memastikan emas 200 meter pecut kekal miliknya apabila kedua-dua acara kegemarannya berlangsung hari ini dan esok.

JADUAL HARI INI
(dari 1 ptg - 10 mlm)

Kejar-mengejar berpasukan (perempuan, remaja lelaki, lelaki elit)
1 km ujian masa (remaja lelaki)
Pecut (perempuan, wanita elit)
Keirin (remaja lelaki, lelaki elit)
Scratch (remaja lelaki)
Perlumbaan mata 20 km (wanita elit)
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JupharaihperakdiACC/Article

No comments: