Friday, February 19, 2010

‘Selamat Tinggal’ kepada Sukan Olimpik London 2012


Untuk berbasikal Negara: Tumpuan perlu kepada Pelapis Kebangsaan bagi meneruskan kesinambungan dan usaha menyalurkan prestasi cemerlang ke peringkat Elit Kebangsaan.

KBS selamat PKBM

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
2010/02/19
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JAGUH lumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang dan barisan pelumba lain boleh mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ kepada Sukan Olimpik London 2012 lebih awal jika tidak kerana usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membebaskan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) daripada terus dibelenggu hutang penganjuran Le Tour de Langkawi 2009 (LTdL) sebanyak RM4.5 juta.
Kesudian KBS melunaskan hutang dengan syarikat kontraktor LTdL yang terbabit membolehkan PKBM menarik nafas lega kerana mereka berkemungkinan bakal berdepan tindakan undang-undang jika perkara itu diheret ke mahkamah. Presiden PKBM, Abu Samah Wahab berkata, Jika perkara itu berlarutan, PKBM juga sudah pasti tidak akan terlepas daripada dikenakan hukuman penggantungan oleh badan induk sukan berbasikal antarabangsa UCI yang sekali gus menyebabkan peluang pelumba negara ke Sukan Olimpik London akan terjejas. “PKBM menganjurkan LTdL 2009 dengan bajet RM7.5 juta namun kos penganjuran meningkat sehingga RM12 juta yang menyebabkan kami berhutang dengan kontraktor sebanyak RM4.5 juta.

Malah kami juga tidak berjaya mendapatkan penajaan untuk menampung kos itu.

Bagaimanapun hasil perbincangan dengan KBS, mereka setuju untuk membayar hutang berkenaan. “Jika kami gagal membayar hutang itu, kemungkinan kontraktor terbabit akan mengambil tindakan undang-undang dan jika itu berlaku dan PKBM diisytiharkan muflis, PKBM boleh dibatalkan dan kami boleh tutup kedai.


Bila kami tutup kedai, pelumba tidak ada tempat untuk bergantung dan program Road to London tidak akan menjadi seperti yang diharapkan,” katanya pada majlis ramah mesra bersama media LTdL 2010 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif, LTdL 2010, Mohamed Salleh semalam. Bagaimanapun PKBM terselamat apabila KBS yang mengambil tugas sebagai penganjur LTdL tahun ini yang akan bermula 1 hingga 7 Mac, setakat ini sudah membayar hampir 95 peratus hutang tertunggak itu. Malaysia menaruh harapan untuk meraih pingat emas di temasya Olimpik London menerusi pelumba Keirin nombor satu dunia, Azizulhasni yang mengetuai barisan pelumba harapan yang lain iaitu Mohd Rizal Tisin, Mohd Edrus Md Yunos, Junaidi Mohammad Nasir dan Josiah Ng.

Sementara itu, mengulas mengenai kegagalan LTdL 2010 menarik penyertaan banyak pasukan Pro Tour, Abu Samah berkata ia berlaku disebabkan perubahan tarikh perlumbaan pada Mac. “Banyak perlumbaan di Eropah sudah bermula pada bulan Mac yang menyebabkan banyak pasukan Pro Tour tidak dapat mengambil bahagian.

Jadi saya berharap KBS pada masa akan datang akan memohon untuk menganjurkan perlumbaan ini pada Januari hingga awal Februari bagi menarik penyertaan pasukan Pro Tour ke LTdL,” jelasnya. Setakat ini hanya satu pasukan Pro Tour iaitu Footon Servetto dari Sepanyol berada dalam senarai 20 pasukan yang akan beraksi dalam jelajah berbasikal LTdL 2010.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KBSselamatPKBM/Article

No comments: