Monday, January 25, 2010

Situasi `menang-menang'.

MSP nafi dakwaan letak syarat keterlaluan lepaskan Aminuddin
Oleh Asrol Awang

MAJLIS Sukan Pahang (MSP) menafikan mereka meletakkan syarat keterlaluan kepada Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) jika mahu mendapatkan khidmat jurulatih, Aminuddin Sulaiman.

Sebaliknya, pengarahnya, Suhaimi Mohd Yunus berkata, pihaknya sedia melepaskan Aminuddin bagi manfaat sukan itu terutama untuk melahirkan jaguh disegani.

Katanya, MSP tidak pernah menghalang pemergian Aminuddin ke pangkuan skuad negara kerana pernah melepaskan jurulatih itu pada 2005, 2007 dan 2008.

"Soal Pahang meletakkan syarat skuad Sukan Malaysia (Sukma) dapat menjalani latihan bersama skuad negara adalah tepat memandangkan Sukma Melaka hanya berbaki lima bulan.

"Pada masa sama, Aminuddin masih lagi jurulatih kami dan bertanggungjawab memastikan skuad Pahang mencipta kejayaan di Melaka, Jun depan," katanya.

Suhaimi berkata, pihaknya turut menafikan MNCF perlu menanggung segala perbelanjaan jika dibenarkan berlatih bersama skuad kebangsaan, sebaliknya MSP akan menanggung segala kos jika skuad Pahang menjalani latihan bersama pasukan negara.

"Dalam hal ini, syarat yang diletakkan itu memadai dan ia dianggap relevan dengan situasi `menang-menang'.

Sebenarnya, isu ini tidak serius dan dianggap selesai kerana MSP dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak menghadapi sebarang masalah," katanya.

Baru-baru ini, Presiden MNCF, Abu Samah Wahab meluahkan kekecewaannya berikutan MSP meletakkan syarat skuad Pahang berlatih bersama skuad negara dan segala perbelanjaan ditanggung MNCF.

"Perkara ini mustahil untuk kami turuti kerana keutamaan adalah kepada skuad kebangsaan. Tambahan pula sukar bagi jurulatih memberikan tumpuan kepada dua kelompok pelumba berbeza," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Sukan/20100125063345/Article/

No comments: