Thursday, December 29, 2011

Perlu Beri Peluang

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

KETUA jurulatih basikal negara, John Beasley menegaskan setiap atlet yang berminat menyertai sukan basikal harus diberi peluang dan tidak wajar dihalang seandainya mereka sudah berputus asa atau mempunyai masalah dalam acara sukan diceburi sebelum itu.

Beasley melontarkan perkara itu apabila diminta mengulas mengenai pendatang baru dalam arena basikal negara, Siti Fatimah Mohamad yang memilih menyertai skuad basikal elit negara di Melbourne tahun depan.

Beliau mengakui bekas atlet olahraga negara itu mempunyai bakat besar untuk diketengahkan dan ia sesuatu yang merugikan sekiranya bakat dimiliki Siti Fatimah disia-siakan dan Beasley kini sudah mempunyai perancangannya sendiri buat atlet berkenaan.

“Saya akan cuba melakukan apa saja untuk membantunya. Saya pasti Siti Fatimah akan bersedia turun menyahut cabaran di Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2014,” katanya.

Di tengah-tengah kemelut yang melanda dirinya bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghulurkan bantuan dengan menyenaraikan bekas pelari pecut itu ke dalam skuad basikal negara. Beasley berkata, peluang diberikan kepada Siti Fatimah selepas mendengar atlet kelahiran Johor itu mahu melupakan arena sukan negara kerana kemelut dalam persatuan yang masih belum selesai hingga hari ini.

“Bagi saya ia sesuatu yang merugikan apabila kita memberikan atlet yang mempunyai bakat hilang begitu saja. Jadi, mengapa tidak peluang diberikan kepadanya untuk mencuba sukan baru seperti basikal. Bukan saja kepada Siti Fatimah, tapi kepada sesiapa saja yang ingin menyertai sukan ini dialu-alukan.

“Kita tidak tahu sama ada dia mampu menjadi juara basikal atau tidak, tapi memang wajar peluang diberikan kerana mereka mungkin mampu bergelar juara dunia satu hari nanti.

“Ujian ke atasnya sudah dilakukan dan nampaknya dia memang mempunyai bakat terpendam. Siti Fatimah akan mula menjalani latihan sepenuh masa tahun depan,” katanya.

Mengulas mengenai perancangannya, Beasley berkata, Siti Fatimah akan terlebih dulu berlatih di Malaysia di bawah kendalian jurulatih lebuh raya, Graham Seers dan Junaidi Nasir untuk tempoh beberapa bulan.
Siti Fatimah dijangka ke Melbourne, September tahun depan iaitu selepas Olimpik 2012 untuk menjalani latihan bersama kumpulan elit yang membabitkan Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Mohammad Edrus Md Yunos dan Fatehah Mustapa.