Tuesday, March 17, 2009

Earth Hour 2009



Dear fairoz izni abd ghani,

Thank you for signing up for Earth Hour 2009.
By signing up you are supporting Earth Hour's aim to reach more than one billion
people in 1000 cities around the world in 2009. Earth Hour is inviting
communities, business and governments to switch off lights for one hour at
8:30pm on Saturday March 28, sending a powerful global message that we care
enough about climate change to take action.

Thank you for your support.

WWF Earth Hour
http://www.earthhour.org/malaysia

Tuesday, March 10, 2009

Trek, lebuh raya tak seimbang


SKUAD lebuh raya negara masih perlu bekerja keras sekiranya mahu melakar kejutan seperti skuad trek negara.



PELUMBA pasukan kebangsaan (baju kuning) dan pasukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (baju kelabu) gagal menyerlah pada kejohanan LTdL 2009 bulan lepas.

OBJEKTIF utama penganjuran LTdL sejak 14 tahun lalu ialah untuk melahirkan pelumba lebuh raya yang mampu memberi saingan di peringkat dunia.



SAMA ADA sedar atau tidak, sukan lumba basikal negara sudah mula menunjukkan peningkatan yang agak ketara kebelakangan ini.

Bermula daripada kejayaan beraksi di Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China sehinggalah yang terbaru, penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Februari lepas, semuanya menunjukkan bahawa sukan lumba basikal mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh.

Malah, apa yang lebih mengagumkan ialah pencapaian anak tempatan, Azizulhasni Awang yang dinobatkan sebagai pelumba No. 1 dunia dalam acara trek (keirin), sekali gus membuktikan kejayaan paling ketara yang diilhamkan atas pelbagai program pembangunan yang direncanakan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Selain kemunculan Azizulhasni, ada lagi nama-nama besar dalam sukan ini yang telah melakar kejutan dalam kejohanan bertaraf dunia seperti Josiah Ng, M. Kumaresan, Rosman Alwi dan ramai lagi.

Mereka ini pernah menggegarkan sukan lumba basikal negara apabila tampil hebat pada kejohanan bertaraf lima bintang seperti Kejuaraan Dunia dan temasya Sukan Olimpik.

Ini membuktikan bahawa skuad trek negara telah berjaya dalam perancangan dan pembangunan mereka untuk melahirkan pelumba-pelumba bertaraf dunia.

Malangnya, semua kejayaan yang dilakar pelumba trek itu gagal diikuti pelumba-pelumba skuad lebuh raya atau dalam erti kata lainnya tiada keseimbangan dari segi pencapaian.

Pada penganjuran LTdL 2009 bulan lalu, hajat peminat sukan tanah air untuk melihat pelumba negara muncul sebagai jaguh masih tidak kesampaian.

Selepas bekas pelumba LeTua, Anuar Manan berjaya mencuri tumpuan pada kejohanan edisi tahun lepas, kali ini harapan yang diletakkan ke atas pelumba negara sekadar tinggal mimpi.

Sampai bila agaknya anak tempatan mampu mendominasi perlumbaan berstatus Hors itu di hadapan peminat sendiri biarpun ia sudah bertapak di negara ini sejak 14 tahun lalu.

Menyedari hakikat ini, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad memberitahu, sudah tiba masanya PKBM membuat post- mortem mengenai hasil perancangan skuad lebuh raya negara berdasarkan pencapaian pada LTdL baru-baru ini.

"Perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa PK- BM dan satu post-mortem akan dibuat untuk menilai pencapaian pelumba negara, khususnya skuad lebuh raya kita," kata Datuk Naim.

"Kita akan kaji prestasi pelumba dan juga program yang dijalankan selama ini.

"Pelumba kita ada kesungguhan, kekuatan fizikal juga sama dan mereka boleh bersaing pada peringkat antarabangsa tetapi kita masih juga gagal.

"Saya rasa, menerusi post-mortem ini kita akan dapat mengenal pasti kelemahan dan punca kegaga- lan kita," ujar Datuk Naim lagi.

Menurut beliau, biarpun skuad trek dan skuad lebuh raya di bawah kendalian PKBM, namun program dan latihan yang dijalankan oleh skuad trek lebih tersusun dan praktikal berbanding skuad lebuh raya negara.

"Bagi saya, kita perlu realistik mengenai perkara ini. Acara trek dan lebuh raya adalah dua acara berbeza dan ia memerlukan program dan latihan yang berbeza.

"Mungkin strategi dan cara yang diguna oleh skuad trek kena pada gayanya dan sebab itulah kita lihat pelumba trek kita seperti Azizulhasni, Josiah (Ng), Junaidi (Nasir), Rizal (Tisin) dan Fatehah (Mustapha) meningkat dengan mendadak.

"Bagi skuad lebuh raya pula, mungkin mereka perlu membuat perubahan semula dalam perancangan mereka dan kalau perlu kita ubah pengurusan skuad ini untuk memantapkan lagi program pembangunan dan latihan pelumba negara.

"Tetapi saya tidak katakan yang pengurusan skuad lebuh raya gagal sepenuhnya. Kita kena ingat bahawa ramai jaguh-jaguh pecut dalam acara trek ini sebenarnya lahir daripada skuad lebuh raya. Jadi mereka berjaya juga menyumbang sesuatu kepada sukan lumba basikal negara," kata Naim.

Beliau juga memberitahu bahawa PKBM juga sedang menimbang untuk menggunakan khidmat jurulatih asing bagi memperbaiki prestasi skuad lebuh raya negara selain mula mencari pelapis-pelapis baru di setiap sekolah dan negeri.

"Mungkin sudah tiba masanya kita menggunakan kepakaran jurulatih asing bagi memperbaiki prestasi pelumba lebuh raya," jelas Naim.

"PKBM telah mengenal pasti beberapa jurulatih asing yang berkebolehan dan masih memantau situasi mereka. Kalau kita boleh membawa kepakaran asing, saya rasa kita mengharapkan suatu peningkatan yang bagus daripada pelumba kita.

"Tetapi jurulatih kita seperti Jamaluddin Omar, Ng Joo Ngan umpamanya, tidak seharusnya diketepikan begitu saja. Khidmat mereka masih lagi bernilai bagi kita. Mereka akan menjadi pembantu jurulatih asing dan dapat mengutip pengalaman dan pengetahuan berguna.

"Jadi, ini adalah rancangan serampang dua mata jika kita ambil jurulatih asing. Selain melatih pelumba negara, dia (jurulatih asing) juga boleh menurunkan pengetahuannya kepada jurulatih kita," kata Naim.

Dalam perancangan jangka masa panjang pula, Naim memberitahu bahawa PKBM menetapkan sasaran untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London dan mengutip pingat pada Sukan Olimpik 2016 di Tokyo dalam kedua-dua acara ini.

Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyenaraikan sukan lumba basikal sebagai sukan teras baru di semua sekolah dan negeri juga dilihat sebagai langkah yang tepat untuk melahirkan ramai pelapis dalam sukan ini.

Bagi Naim, beliau optimis bahawa masa depan sukan lumba basikal negara, khususnya acara lebuh raya akan semakin cerah sekiranya negara mampu melahirkan ramai pelumba pada peringkat akar umbi.

"Jika kita mampu melahirkan ramai pelumba muda dan mampu membentuk satu skuad pelapis yang benar-benar mantap, saya jamin skuad lebuh raya kita juga akan mampu mencipta kejayaan.

"Sekarang ini pun kita sudah ada pelumba pecut dan jarak jauh yang hebat seperti Anuar Manan, Loh Sea Kong, Ahmad Haidar Anuwar dan Ng Yong Li, jadi tidak mustahil kita akan mempunyai lebih ramai lagi pelumba endurance yang berkemampuan pada masa hadapan.

"Sekiranya semua ini membuahkan hasil, kita mungkin mampu menyumbang pingat pada Sukan Olimpik dalam masa lapan tahun lagi," kata Naim.

Namun begitu, walaupun keyakinan Datuk Naim itu diluahkan berdasarkan strategi PKBM dalam rancangan jangka panjang pada peringkat akar umbi, bagi jurulatih skuad lebuh raya negara, Jamaluddin Omar pula, semuanya tidak akan berjaya sekiranya tiada pendedahan yang lebih banyak pada peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, daya ketahanan pelumba negara dari segi fizikal tidak banyak bezanya dengan pelumba dunia yang lain, namun hanya ketahanan mental menjadi penghalang untuk pelumba lebuh raya mencatat kejayaan.

"Saya lihat pelumba kita boleh memberi saingan kepada pelumba profesional yang lain kerana dari segi keupayaan fizikal, semua pelumba adalah sama," kata Jamaluddin.

"Tetapi kekurangan kita hanya pada ketahanan mental. Saya lihat pelumba kita masih belum ada keyakinan yang tinggi dan masih belum mahir dengan strategi berpasukan.

"Pelumba kita juga sebenarnya perlu lebih banyak pendedahan beraksi dalam kejohanan bertaraf dunia yang lain.

"Selain beberapa pelumba berpengalaman seperti Suhardi dan Sea Keong, kita juga memiliki ramai pelumba muda yang berbakat termasuk Anuar, Akmal, Amir Mustafa, Haidar dan beberapa lagi.

"Mereka semua memiliki kepantasan yang sama dengan pelumba profesional lain, cuma kekuatan mental sahaja yang kurang.

"Jadi untuk mempertingkatkan lagi mentaliti mereka dengan pelumba dunia yang lain, mereka perlu menyertai banyak kejohanan di serata dunia, kalau boleh 100 perlumbaan setahun," kata Jamaluddin lagi.

Jadi, dengan adanya perancangan yang baru serta pengurusan yang lebih teratur, ada kemungkinan pelumba lebuh raya negara mampu mengungguli kejohanan di pentas antarabangsa.

Mungkin juga langkah membawa masuk jurulatih asing mampu mengubah masa depan skuad lebuh raya yang ketika ini memiliki potensi untuk menggegar dunia.

PKBM pula perlu melihat semula objektif penganjuran LTdL yang sudah bertapak di negara ini sejak 14 tahun lalu.

Walaupun skuad trek menunjukkan pencapaian yang membanggakan, namun skuad lebuh raya pula masih terkapai-kapai mencari rentak untuk mencipta kejayaan di tempat sendiri dan keadaan ini pastinya sesuatu yang mengecewakan.

Dengan memperbanyakkan lagi penyertaan pelumba negara pada kejohanan bertaraf dunia seperti yang dicadangkan oleh jurulatih berpengalaman, Jamaluddin, ia mampu mengubah persepsi dan mentaliti pelumba negara sendiri untuk bersaing di pentas antarabangsa yang lain.

Justeru, sekiranya mahu melihat pelumba-pelumba lebuh raya negara mampu memberi saingan, perancangan baru PKBM ini seharusnya diperhebatkan.

Jika tidak, tiada makna menggunakan khidmat jurulatih luar sedangkan keupayaan pelumba tidak berubah.

PKBM kini perlu bergerak pantas agar pencapaian skuad trek dan lebuh raya menikmati kejayaan seimbang baik di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm